Sukan rekreasi memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (Jeris). Justeru itu, sukan rekreasi diselaraskan dengan kurikulum di sekolah. Sukan rekreasi menjadi salah satu komponen penting dalam sukatan Pendidikan Jasmani. Oleh sebab itu setiap tahun, kebanyakan sekolah akan menganjurkan pelbagai aktiviti rekreasi untuk pelajar-pelajar. Sekiranya para pelajar sentiasa mengambil bahagian dalam aktiviti rekreasi, mereka dapat membina dan mengekalkan keadaan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial yang sihat.

Apabila sukan dan rekreasi menjadi salah satu komponen dalam kurikulum mereka, maka para murid haruslah mengikuti aktiviti rekreasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Apabila seseorang itu mula melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti maka secara automatik ini akan menyebabkan tubuh badan mereka sentiasa sihat dan mereka akan menjauhi diri daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok. Murid akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan gejala sosial bersama rakan sebaya.

Apabila seseorang murid sentiasa aktif dalam sukan rekreasi, murid tersebut akan dapat mengawal emosinya dengan lebih baik. Ini kerana murid dapat berfikir dengan tenang dan menyelesaikan masalah dengan baik. Maka dengan itu murid tersebut tidak akan banyak menimbulkan masalah di sekolah.

Akhir sekali, mereka juga dapat mengembangkan kemahiran sosialisasi mereka dengan berinteraksi dengan guru ataupun rakan-rakan yang berbilang kaum tanpa sebarang masalah. Ini secara tidak langsung dapat membina perpaduan, semangat kekitaan dalam kalangan anak murid apabila mereka saling bekerjasama dan bertoleransi dalam aktiviti rekreasi.. Tambahan pula, seseorang individu boleh mempelajari nilai-nilai murni secara tidak langsungnya apabila mengambil bahagian dalam aktivivti sukan rekreasi yang dianjurkan di sekolah sebagai salah satu syarat bagi memenuhi sukatan kurikulum di sekolah.

Justeru itu, sukan rekreasi sememangnya memberi banyak faedah kepada para murid yang mengikuti matapelajaran ini di sekolah mereka. Oleh itu, sukan rekreasi haruslah dijadikan sebagai matapelajaran wajib bukan sahaja di sekolah rendah tetapi juga di sekolah menengah dan juga di IPTA.

KEPENTINGAN REKREASI

1. Pembentukan Personaltit
– Membentuk personaliti diri yang berkualiti seperti berdikari, berani dan yakin.

2. Kepimpinan
– Melatih rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap keselamatan orang lain.

3. Dinamik Kumpulan
– Melalui aktiviti berkumpulan, seseorang itu akan dilatih untuk bekerjasama dalam satu pasukan dan belajar mengendalikan kumpulan.

4. Meningkatkan Kecergasan
– Sukan rekreasi yang melibatkan kecergasan fizikal dapat meningkatkan kecergasan dirinya.

5. Sosialisasi
– Dapat melibatkan diri dengan aktiviti kumpulan yang dianjurkan oleh sesebuah pihak
– Memberi peluang kepada kita untuk mengenali orang lain yang turut serta dalam aktiviti berkenaan.

6. Pembangunan Insan
– Dapat melahirkan insan yang bersedia berdepan dengan risiko dalam kehidupan melalui pembinaan emosi yang baik.

7. Pembangunan Negara
– Masyarakat yang sihat dari segi fizikal serta mentalnya boleh menyumbang kepada pembangunan negara khususnya dalam bidang sukan.

8. Pendidikan Sepanjang Hayat
– Sesuai dilakukan oleh semua peringkat umur.
– Setiap lapisan masyarakat bebas melakukan aktiviti sukan rekreasi bersesuaian dengan peringkat umur mereka.